Tuesday, 3 December 2013

UJIAN..

Sebagai hambaNya, sememangnya aku layak diuji.. aku tahu setiap ujian itu adalah tanda cintaNya. aku pasti akan ada seribu satu kebaikan dan hikmah disebalik ujian ini. aku juga tahu semua itu hanya untuk mereka yang SABAR. ALLAH sentiasa bersama dengan orang yang sabar. tapi, sabarkah aku? ikhlaskah aku? ALLAH...

          SABAR... mudah pada lisan yang kosong empati, berat pada jiwa yang penuh duri.

aku sering menangis sendiri. enggan menderhaka tapi berat memaafkan. ingin mengasihi tapi besar syaratnya. ingin berjauhan tapi hati merindu. ingin bersama tapi hati menjauh. ya ALLAH,, didiklah aku hamba hina ini untuk menyayangi tanpa syarat, mendahulukan maaf, melupakan dendam.. lindungilah diri ini dari penyakit hati. penyakit dunia. didiklah hati ini akan erti SABAR..

aku mahu melangkah dan terus melangkah. mengambil masa lalu sebagai pedoman, meletakkan masa hadapan sebagai harapan. aku ingin terus tersenyum, menyinari hati yang suram ini. aku ingin terus berharap, menghidupkan hati yang mati sebelum masanya. tapi, nak ke mana? dari mana? bagaimana? ALLAH, tunjukkan aku jalan yang terbaik.

ALLAH YA RABB..
bukakan pintu hatiku ini pada jalan kebaikan. ikhlaskanlah hati ini. kurniakan aku kesabaran yang tinngi. pinjamkan aku sifat RAHIM dan RAHMAN-MU agar dapat aku terus menyayangi mereka. bimbinglah aku melalui ujian ini. pimpinlah aku meredah kegelapan ini. dampingilah aku yang merintih ini. peluklah aku yang kesunyian ini. cintailah aku yang hina ini. sungguh, aku BERTAWAKAL...

Friday, 5 July 2013

INDAH KERINDUAN

Oh Tuhan... Aku rindu. 

Rindukan saat-saat dulu. Saat aku menjadi puteri dalam sebuah istana kecil. Pada pandangan orang lain, istana itu mugkin bukan istana. Mungkin juga tempat yang paling tidak diingini oleh sesetengah orang. Namun, itulah istana terindah dalam memori hidupku. Sebuah rumah usang yang kecil dan menanti masa untuk rebah. 

Sungguh aku rindu. 

Rindu untuk kembali menjadi sang puteri. Setiap hari sang puteri dengan riangnya bergelak ketawa bermain di taman permainannya. Bermain dan bermanja dengan alam semulajadi yang menghijau. Biarpun taman itu dianggap tanah terbiar atau mungkin semak bagi orang dewasa, tapi bagi sang puteri yang polos hati dan jiwanya.... itulah taman permainan terindah dalam hidupnya. Saat ini, hari ini, taman itu berubah menjadi kebun pisang sedang tanah tapak istana kecintaannya kini sudah terdiri sebuah rumah kecil. Namun jauh di sudut hati, sang puteri masih tersenyum kesyukuran melihat kehijauan kebun pisang yang diusahakan mek. Alhamdulillah.. 

Sakit yang indah..

Merindui saat-saat silam yang tak akan mungkin kembali sangat menyakitkan. Tapi sakit yang ku rasakan ini sangat indah. Bahkan, rindu ini yang memberi kekuatan untukku terus berjalan dan melangkah menongkah arus. Rindu ini yang setia menyuntik semangat tatkala jiwaku resah mengharungi ujian hidup. Rindu ini yang sabar mengubati hatiku ketika ia retak dek kerana rakusnya dunia. 

Indah kerinduan..
Saat dan waktu terus berlalu. Tak sedetik pun ia menanti kita. Namun rindu yang kupendam akan sentiasa kusimpan jauh di lubuk hatiku. Indah kerinduan yang tak mungkin dan tak ingin dilupakan oleh sang puteri bernama NUR. <3

..ASSALAMUALAIKUM..
..SELAMAT MALAM..
..SALAM SAYANG..